PERSATUAN BANTUAN MASYARAKAT MALAYSIA
PPM-031-10-06092012-000005
SOSIAL
Kategori
PEKERJAAN
Sub-Kategori
Pengenalan Pertubuhan
Dewasa ini, banyak kejadian bencana berlaku yang mana melibatkan kehilangan harta dan juga nyawa. Untuk menyelesaikan dan mengatasi permasalahan ini, pihak kerajaan telahpun dan akan memperuntukkan sejumlah dana bagi rancangan dan pelaksanaan dalam plan kontingensi dan tindakan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri. Kerajaan juga telah menggalakkan pengwujudan organisasi sukarela yang terlibat dalam operasi bencana khususnya dan khidmat masyarakat amnya. Oleh yang demikian, dapat menambah dan memperkasakan organisasi atau agensi yang ada hubungkait dengannya sekaligus dapat menjayakan sesuatu misi bencana dengan sempurna dan sistematik.
Persatuan Bantuan Masyarakat Malaysia (PBMM) atau dikenali juga sebagai Community Relief Society Malaysia (CRSM) adalah sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan dengan tujuan utamanya adalah untuk membantu Negara dimasa aman dalam lapangan perkhidmatan perubatan dan kemasyarakatan. Disamping itu juga membantu Negara dalam menghadapi saat yang tidak terduga seperti kecemasan setempat, bencana berskala kecil, sederhana dan besar. PBMM juga adalah sebuah Pertubuhan Bukan Berasaskan Keuntungan (non-profit organization) yang mana hampir semua aktiviti dan perkhidmatan yang dijalankan oleh PBMM adalah untuk masyarakat dan percuma atau dicaj pada harga yang minimum dan berpatutan.
PBMM berfungsi berdasarkan tiga (3) teras perkhidmatan utama; iaitu perubatan dan penjagaan kesihatan, bantuan bencana dan khidmat masyarakat. Melalui perkhidmatan Ambulans yang mana adalah merupakan khidmat utama yang disalurkan kepada masyarakat umum dengan percuma bagi kes – kes kecemasan. Disamping itu juga, perkhidmatan pengangkutan pesakit bukan kecemasan. Sebagai contoh, perkhidmatan pengangkutan pesakit dari rumah atau pusat jagaan ke hospital atau Pusat Perubatan ulang – alik, sebaliknya dan perkhidmatan pengangkutan pesakit dari hospital ke hospital. Selain itu, Persatuan juga menawarkan perkhidmatan perlindungan perubatan bagi sebarang acara seperti keramaian, sukan, persembahan dan lain – lain bagi sektor kerajaan, swasta, badan berkanun dan individu. Dalam aspek khidmat kesihatan pula, PBMM akan mengadakan kempen kesihatan seperti pencegahan wabak, program derma darah, khidmat dialysis, kempen penjagaan kesihatan serta khidmat rawatan rumah (home nursing).
Melalui perkhidmatan bantuan bencana dan operasi menyelamat pula, Persatuan akan turun membantu bagi melancarkan lagi operasi menyelamat dan bantuan bencana yang melibatkan agensi dan organisasi penyelamat yang lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyakat dan lain – lain organisasi sukarela dalam aspek tenaga manusia, logistik dan kemahiran. Melalui perkhidmatan ini juga, Persatuan akan dapat mengeratkan hubungan di antara semua agensi dan organisasi yang terlibat terutamanya dalam aspek latihan dan komunikasi.
Menerusi khidmat kemasyarakatan pula, PBMM akan mengadakan program gotong – royong, program pendidikan awal kanak – kanak, program membantu orang - orang kelainan upaya, program membantu masyarakat termiskin dan miskin tegar serta anak – anak yatim dan juga tidak dilupakan warga emas bersama pertubuhan – pertubuhan sukarela yang lain, surau – surau, masjid – masjid serta lain – lain organisasi yang berkaitan.
Melalui perkhidmatan yang disediakan ini, pelbagai peluang pekerjaan telah dan akan disediakan memandangkan ianya merupakan salah satu daripada permasalahan kronik yang melanda dunia hari ini. Selain itu juga, ianya membuka peluang kepada orang awam dalam menimba ilmu dan pengalaman menerusi pasukan sukarela yang akan diwujudkan dari semasa ke semasa. Ianya juga sebagai salah satu langkah promosi keahlian PBMM dimasa akan datang dan sekaligus akan menjadikan mereka sebagai pelapis bagi mentadbir Persatuan.
Dana dan sumber kewangan Persatuan datangnya dari sumbangan ikhlas para dermawan, ahli korporat, individu dan syarikat-syarikat tidak kira samada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ataupun syarikat-syarikat kecil. Orang ramai dan para dermawan diharap dapat tampil menghulurkan sumbangan dalam apa jua bentuk agar segala yang telah dan akan dirancang mencapai sasaran sekaligus bantuan dapat disalurkan kepada yang memerlukan.
Latihan juga merupakan salah satu daripada elemen penting dalam memastikan segala perkhidmatan yang disediakan dan diberikan dapat dipenuhi secara keseluruhan. Ia juga merupakan salah satu produk yang akan dipasarkan kepada ahli dan orang awam. Sebagai langkah permulaan, ahli – ahli yang terpilih akan dihantar menjalani latihan, kursus dan menduduki peperiksaan bagi mempersiapkan mereka sebagai jurulatih PBMM dengan mengadakan kolaborasi bersama-sama NGO-NGO, Jabatan-jabatan kerajaan serta badan berkanun yang diiktiraf dalam memberi latihan berkaitan operasi menyelamat dan perubatan kecemasan.
Akhir kata, adalah diharapkan anda mendapat sedikit pengetahuan dan manfaat dari buku ini dan seterusnya berfungsi sebagai buku panduan PBMM yang akan digunapakai sebagai panduan oleh para penderma, kakitangan dan ahli secara keseluruhannya. Disamping itu juga, adalah diharapkan agar buku ini dapat dijadikan penanda aras Persatuan dari semasa ke semasa
Maklumat Pertubuhan
1) Menubuhkan sebuah pasukan baru bagi membantu negara di masa aman dalam lapangan perkhidmatan perubatan dan khidmat kemasyarakatan. Disamping itu juga, membantu negara dalam menghadapi saat yang tidak terduga seperti kecemasan setempat, bencana berskala kecil, sederhana dan besar.
2) Dapat mempromosi kegiatan, memperkukuhkan dan memperluaskan lagi keahlian dan aktiviti Persatuan di masa akan datang.
3) Menjalankan perkhidmatan perubatan kecemasan bagi kawasan setempat dan bantuan kecemasan seperti kemalangan, masalah perubatan, dan kecederaan yang berlaku secara tiba – tiba.
4) Menggerakkan ahli – ahli Persatuan bagi membantu lain – lain agensi kerajaan dan bukan kerajaan ketika berlaku bencana seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya.
5) Mengadakan latihan, kerjasama dan komunikasi diantara agensi penyelamat awam yang lain seperti Jabatan Bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan lain – lain agensi yang berkait rapat dengan kecemasan dan bencana.
6) Meningkatkan kefahaman orang awam tentang lapangan sukarela dengan menggembling dan menyatukan tenaga setiap lapisan masyarakat di dalam sebuah pasukan.
7) Untuk menjalankan perniagaan bagi mencapai objektif Persatuan dengan syarat semua wang dan keuntungan yang didapati oleh Persatuan ini adalah hasil dari penyertaannya dalam mana-mana perniagaan akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan-tujuan Persatuan ini dan tidak akan sebahagian pun daripada wang atau keuntungan itu akan digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada sebarang ahli Persatuan. Sungguhpun begitu, peruntukkan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat untuk tujuan baik , untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada ahli atau pekerja Persatuan ini dengan syarat mereka telah memberi perkhidmatan kepada Persatuan ini.
8) Memohon, memajak, memperolehi atau memiliki lain-lain harta untuk Persatuan dengan syarat persetujuan mesyuarat agung dan tertakluk kepada kebenaran daripada pihak berkuasa tertentu diperolehi terlebih dahulu.
Latar Belakang Pertubuhan
Persatuan Bantuan Masyarakat Malaysia (PBMM) berfungsi sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), yang menyalurkan bantuan dalam apa jua bentuk didarat, laut dan udara. Merupakan antara NGO di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan ini sepenuh masa dan akan digerakkan dimasa aman atau bencana mengikut prinsip-prinsip asas Persatuan.
Perkhidmatan yang ditawarkan juga berasaskan konsep penyelamatan nyawa, harta benda, dan bangunan. Ia juga berperanan sebagai Persatuan yang memberi bantuan penuh dan separa penuh kepada mangsa-mangsa bencana setelah dinilai oleh pegawai penilai. Perkhidmatan yang antara lain berfungsi untuk meringankan kesengsaraan dimana sahaja ia berlaku dan memberi keselesaan kepada mangsa-mangsa bencana dengan kemampuan.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah bantuan bencana dan operasi menyelamat, perkhidmatan Ambulans kecemasan 24 Jam, perkhidmatan Ambulans bukan kecemasan (Penghantaran Pesakit), perkhidmatan perawatan rumah ke rumah (Home Nursing) dan lain-lain perkhidmatan dalam bidang perubatan dan khidmat komuniti.
Dalam mempersiapkan tenaga kerja professional dan separa professional, Persatuan bertanggungjawab menghantar dan mempertingkatkan lagi ilmu dan kemahiran para pegawai dan anggota supaya ia berada di tahap yang bersedia dalam sebarang keadaan. Persatuan juga perlu menyertai beberapa siri latihamal dan bergabung dengan lain-lain agensi penyelamat di Malaysia dalam memastikan kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi bencana.
Syarat-Syarat Keahlian
Menurut FASAL 4, PERLEMBAGAAN PERSATUAN BANTUAN MASYARAKAT
MALAYSIA, syarat-syarat keahlian adalah seperti berikut ;
1) Keahlian terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun keatas dan berminat menceburkan diri dalam bidang bantuan menyelamat, perubatan dan khidmat kemasyarakatan.
2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli baru hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli yang telah mendaftar terlebih dahulu dan dihantar kepada Setiausaha Agung yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu secepat mungkin kepada Jawatankuasa Pusat untuk kelulusan. Jawatankuasa Pusat boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab dan alasan.
3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut diatas, hendaklah membayar wang bayaran pendaftaran ahli (RM 10) dan yuran tahunan pertama seperti yang ditetapkan iaitu RM 5. Setelah bayaran dibuat, dan resit rasmi telah dikeluarkan maka dengan itu pemohon diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.
4) Terdapat 4 kategori dalam keahlian Persatuan, iaitu :
a) Ahli Biasa : Ahli Persatuan warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun keatas yang berminat dengan kerja – kerja khidmat sukarela dan kemasyarakatan seperti bantuan bencana, perubatan dan khidmat komuniti.
b) Ahli Kehormat : Terdiri daripada mereka yang berjasa kepada masyarakat dan boleh memberi sumbangan kepada pertubuhan atau persatuan. Mereka ditentukan oleh Jawatankuasa dan terkecuali dari pembayaran yuran.
c) Ahli Seumur Hidup : Terbuka kepada ahli biasa yang membayar yuran sekaligus.
d) Ahli Remaja / Belia :Terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun kebawah. Mereka perlu mendapatkan surat kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga yang sah. Mereka tidak boleh mengundi atau memegang jawatan dalam persatuan.
Kelebihan Menyertai Pertubuhan ini
Dalam menjadikan Persatuan Bantuan Masyarakat Malaysia (PBMM) sebagai sebuah pasukan bantuan komuniti yang sentiasa bersedia apabila diperlukan, kami sentiasa komited dalam pembangunan sumber manusia serta hal ehwal tenaga manusia sentiasa diberi perhatian paling utama. Untuk menjamin permasalahan ini dapat diatasi sepenuhnya, pembangunan dan pengurusan tenaga sukarela sentiasa dikemaskini dan diwujudkan dari semasa ke semasa.
Sukarelawan atau Ahli Sukarela adalah tunjang kepada Persatuan. Tanpa tenaga kerja sukarela ini, Persatuan ini akan lumpuh dengan kurangnya aktiviti-aktiviti yang mana tenaga sukarela ini memainkan peranan yang paling penting dalam pelaksanaannya. Masalah yang akan timbul berikutan pengambilan sukarelawan ini ialah kesukaran dalam komunikasi akibat tiada pengurusan yang cekap dan sistematik serta tiada keseragaman dalam pembangunan modal insan. Bagi mengatasi permasalahan ini, Persatuan akan mempergiatkan usaha kearah pengwujudan pasukan-pasukan subsidiari atau sukarela dengan lebih agresif.
Pasukan yang diberi nama CRT atau Pasukan Bantuan Komuniti (Community Relief Team) ini akan berfungsi sebagai pelaksana kepada setiap aktiviti Persatuan. Mereka akan membantu Persatuan dan kakitangannya dalam menjalankan setiap misi dengan sempurna. Antara tugas yang boleh disertai adalah tugas sebagai ahli pertolongan cemas yang membantu dalam pengendalian Ambulans dan penjagaan pra-hospital (pre-hospital care), bantuan semasa dan selepas bencana, tugas tunggu sedia (standby duty) dalam pelbagai acara, kejurulatihan, program kesihatan dan kemasyarakatan serta lain-lain program berkaitan.
Oleh yang demikian, Persatuan akan sentiasa mencari jalan terbaik dan berusaha kearah keberkesanan sistem dan pengurusan ahli sukarela dengan penubuhan dan pembangunan unit-unit Sukarela disetiap negeri dan daerah di seluruh negara. Hanya dengan cara ini Persatuan dapat menguruskan pembangunan modal insan dengan lebih teratur.
Pautan Sosial Media
: | https://www.facebook.com/pbmm.pahang | |
Youtube | : | |
: | ||
: | ||
TikTok | : | |
Laman Web / Blog | : | https://pbmmpahang12.blogspot.com/ |
Telegram | : |