PERTUBUHAN KERABAT RAJA JEMBAL KELANTAN
PPM-007-03-11071992
SOSIAL
Kategori
KETURUNAN
Sub-Kategori
Pengenalan Pertubuhan
Maklumat Pertubuhan
PENGENALAN
Pemerintahan Kesultanan Melayu Jembal yang bermula pada tahun 1683M telah berakhir pada tahun 1733M. Tinggalan sejarahnya masih kekal hingga ke hari ini. Antara tinggalan sejarah Kesultanan Melayu Jembal ialah Makam Raja Loyor, Raja Omar dan Raja Bahar di Kota Jembal, Makam Raja Ngah di Tanjong Chat dan Makam Raja Abdullah di Kampung Padang Halban. Perbadanan Muzium Negeri Kelantan memulihara kesemua makam ini. Keturunan Raja Jembal masih kekal hingga sekarang mendiami Kota Jembal, Pulau Melaka, Binjai dan beberapa kampung lain dalam Jajahan Kota Bharu serta jajahan-jajahan lain dalam Negeri Kelantan. Mereka juga bertebaran di seluruh negara, Wilayah Selatan Thailand, Indonesia dan Brunei. Keturunan Raja Jembal, terutamanya generasi tua masih kekal mempertahankan pertuturan atau perhubungan antara mereka menggunakan bahasa dalam.
Raja Pemerintah Kesultanan Melayu Jembal bergelar Raja manakala keturunannya memakai gelaran nama keturunan Raja, Tengku, Ku, Engku, Tuan, Tan atau Nik. Migrasi keturunan Raja Jembal dari Kota Jembal ke tempat-tempat lain di negara ini atau luar negara adalah kerana meneroka penempatan baharu, menyertai rancangan kemajuan tanah, berniaga, makan gaji atau perkahwinan. Sesungguhnya generasi awal keturunan Raja Jembal hanya menjodohkan anak cucu mereka sesama kerabat sahaja. Faktor migrasi tadi menyebabkan amalan perkahwinan sesama kearabat ini tidak dapat dipertahankan lagi. Maka Keturunan Raja Jembal telah bersepakat menetapkan kaedah menentukan gelaran nama keturunan bagi perkahwinan tidak sekerabat ini secara setara atau menurun.
LOKASI OPERASI
Pertubuhan ini beroperasi di alamat D3, Taman Putra, Jalan Sultan Omar, Kota Jembal, 16150 Kota Bharu, Kelantan.
MATLAMAT PENUBUHAN
1. Mengeratkan hubungan silaturahim antara kerabat;
2. Merapatkan semula ikatan kekeluargaan antara kerabat dan keturunan Raja Jembal yang datangnya daripada keturunan Raja Sakti, Raja
Loyor, Raja Omar atau mana-mana raja yang berkaitan dengan Raja Jembal;
3. Menyemai dan menanam semangat jaya diri dan berdikari dengan tujuan mengurangkan kemiskinan kerabat dan keluarga;
4. Menubuhkan satu badan kebajikan khusus bagi kerabat dan keluarga dengan tujuan membiayai kegiatan ekonomi yerutama kepada kerabat
dan keluarga yang miskin dan memerlukan bantuan yang sedemikian;
5. Mewujudkan pakatan dan kerjasama dengan sebarang kegiatan yang bermanfaat kepada kerabat dan masyarakat;
6. Mengkaji dan menyelidik sejarah kegemilangan Kerajaan Jembal bagi tujuan pensejarahan tanah air secara amnya;
7. Tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan politik dan tidak berpihak atau dipergunakan bagi tujuan politik mana-mana pihak;
8. Sentiasa berdiri teguh, taat setia menjunjung kasih di bawah naungan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan;
9. Berdiri teguh di bawah naungan pemerintahan kerajaan yang memperoleh mandat rakyat.
Latar Belakang Pertubuhan
SEJARAH PENUBUHAN
Faktor migrasi keturunan Raja Jembal dari Kota Jembal ke seluruh pelusuk negara dan luar negara menyebabkan hubungan silaturahim antara kerabat Raja Jembal terputus bahkan tidak lagi saling mengenali antara satu sama lain. Sehubngan itu, pada tahun 1991 sekumpulan lapan orang kerabat Jembal yang terdiri daripada Dato’ Raja Mahmud bin Raja Mamat, Tuan Mat bin Tuan Kechik, Nik Yusof bin Nik Mohamad @ Nik Mat, Nik Ariff bin Raja Yusof, Tengku Ahmad bin Tengku Ali, Dr Raja Wahab bin Raja Mamat, Raja Ibrahim bin Raja Mamat dan Raja Yusof bin Raja Abd Rahman telah bertemu dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian demi mempertautkan kembali kerabat yang berjauhan dan berselerakan di dalam dan luar negara. Pertemuan itu telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dikenali dengan nama PERTUBUHAN KERABAT RAJA JEMBAL KELANTAN sebagai payung yang menaungi semua kerabat Jembal di mana sahaja mereka berada. Mereka seterusnya dilantik menganggotai Jawatankuasa Penaja yang dibentuk dalam pertemuan tersebut.
Jawatankuasa Penaja Pertubuhan telah melakukan kunjungan hormat kepada Yang Dopertua dan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan (PKDK) di Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan untuk menyembah maklum akan penubuhan Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan. Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia telah meluluskan pendaftaran pertubuhan ini sebagai suatu pertubuhan kategori sosial dan sub-kategori keturunan di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 pada 7 November 1992.
Syarat-Syarat Keahlian
SYARAT-SYARAT DAN KAEDAH KEAHLIAN
1. Keahlian terbuka kepada kerabat yang datangnya daripada keturunan Raja-Raja Jembal yang berumbikan Raja Sakti, Raja Loyor, Raja Bahar, Raja Omar atau Raja Kechil Sulong serta memakai gelaran keturunan Raja, Tengku, Tuan, Nik atau Ku dengan nasab keturunan sebelah bapa tidak terputus sebagaimana nama tercatat dalam Kad Pengenalan keluaran Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia. Walau bagaimana pun Lembaga Adat atau Jawatankuasa Pertubuhan mempunyai kuasa muktamad bagi meluluskan permohonan keahlian bagi sesiapa yang tidak mempunyai gelaran keturunan seperti di atas dengan syarat pemohon dapat mengemukakan salasilah keturunan yang boleh diterima kesahihannya.
2. Keahlian terbuka kepada kerabat lelaki atau perempuan yang telah cukup umur 18 tahun pada 1 Januari tahun permohonan keahlian dikemukakan.
3. Permohonan keahlian hendaklah dikemukakan dengan menggunakan borang permohonan yang boleh didapati di alamat tetap Pertubuhan. Setiap permohonan keahlian hendaklah dicadang dan disokong oleh seorang ahli Pertubuhan dan diserahkan kepada Setiausaha. Kelulusan permohonan keahlian adalah hak mutlak Jawatankuasa Pertubuhan. Jawatankuasa Pertubuhan berhak menolak permohonan keahlian tanpa perlu memberikan sebab-sebab penolakan.
4. Seseorang ahli disahkan keahliannya serta didaftarkan sebagai ahli Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan sesudah ahli itu menjelaskan bayaran masuk sekali gus RM 60.00 (Ringgit Malaysia : Enam Puluh sahaja). Ahli-ahli yang menjelaskan bayaran masuk sekali gus RM 60.00 sahaja yang berhak mengundi dalam mesyuarat agung atau mesyuarat agung khas.
Kelebihan Menyertai Pertubuhan ini
KELEBIHAN MENYERTAI PERTUBUHAN
Kerabat yang bersatu itu teguh. Kerabat yang bercerai itu relai. Pertubuhan ini memayungi Kerabat Jembal untuk mempertaut kembali silaturahim antara kerabat yang terputus lebih dua abad lamanya. Kerabat bersatu untuk sama-sama menyelesaikan masalah sosio-ekonomi-status dan pendidikan yang membelenggu kerabat.
Pautan Sosial Media
: | ||
Youtube | : | |
: | ||
: | ||
TikTok | : | |
Laman Web / Blog | : | |
Telegram | : |