AKTIVITI | KESELAMATAN
Program Taklimat Keselamatan &Mencegah Kebakaran 2023


Program Taklimat Keselamatan & Mencegah Kebakaran 2023 anjuran Persatuan Penduduk Pangsapuri Nuri (PPPN) ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan informasi kepada penduduk berkaitan keselamatan dan kaedah mencegah kebakaran di unit perumahan.


Pihak PPPN telah menjemput pegawai bomba daripada Unit Latihan Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh serta pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dan juga wakil Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Zon 18 untuk menyampaikan penerangan mengenai keselamatan.


Selain itu, persatuan turut menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, YB Muhammad Izuan Ahmad Kassim untuk merasmikan program berkenaan.


Menerusi program yang dianjurkan ini, pihak bomba telah memberikan penerangan berkaitan cara-cara mencegah kebakaran dan juga penduduk turut diberi tunjuk ajar cara-cara memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api jenis ABC dry powder dan alat pemadan api jenis Co2.


Manakala pihak polis dan wakil ahli majlis masing-masing memberikan penerangan dan peringatan agar tidak menjadi mangsa penjenayah dan juga cara dan kaedah untuk penduduk membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).


Penduduk juga diberi kebebasan untuk mengemukakan pertanyaan kepada ahli panel yang hadir.


Dalam pada itu, penduduk yang hadir juga turut diberi peluang untuk memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api dengan dibantu oleh pihak bomba di kawasan lapang berhampiran Pangsapuri Nuri.


Seramai kira- kira 120 penduduk yang hadir pada program ini memberikan maklum balas yang baik dan berharap agar aktiviti lain seumpamanya boleh diadakan lagi selepas ini.


Ini merupakan kali pertama program sebegini dianjurkan dan ianya mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada penduduk Pangsapuri Nuri sejak ianya mula diduduki pada tahun 1999.


Program ini juga menjadi serampang dua mata kepada persatuan penduduk untuk mengeratkan hubungan komuniti setempat dengan pihak berkuasa dan orang awam dan seterusnya dapat memupuk semangat kebersamaan,perpaduan penduduk berbilang bangsa yang tinggal di Pangsapuri Nuri.