AKTIVITI | SOSIAL
Program Gotong-royong Taman Tiara Perdana, Simpang Renggam Johor


Satu program gotong-royong bagi menyahut seruan Kerajaan Negeri Johor iaitu Kempen Johor Bersih telah diadakan di Taman Tiara Perdana, Simpang Renggam pada 27 Ogos 2022. Program ini bermula seawal jam 7.30 pagi di tempat berkumpul di padang riadah Jalan Tiara 4/4 dengan kehadiran keseluruhan kira-kira 200 orang. Program anjuran Persatuan Penduduk Muafakat Taman Tiara Perdana, Simpang Renggam Johor ini adalah sebahagian kerjasama dan peruntukan dari Geran MyICE 2022 oleh pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM). Dalam menjayakan gotong-royong ini, pihak persatuan juga telah mendapat kerjasama yang erat dengan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dan juga pihak SWM Environment Sdn Bhd dalam menyediakan jentera berat bagi melancarkan lagi kerja membersih. Selain membersih kawasan kejiranan, aktiviti penanaman pokok hiasan di laluan strategik juga turut dilaksanakan. Melalui program seperti ini, penglibatan para penduduk Taman Tiara Perdana ke dalam program keceriaan taman ini akan dapat menjadi satu amalan hidup sihat dan rukun hidup bermasyarakat, yang juga menepati salah satu dari matlamat tubuh persatuan. Selain itu juga, penganjuran program ini dapat menyuburkan silaturahim sesama penduduk pelbagai kaum dan agama dalam menyahut seruan kerajaan sebagai sebuah Keluarga Malaysia.