BERITA | SOSIAL
Bengkel Pembuatan Sabun daripada Minyak Terpakai: Usaha Kelestarian Alam

Kota Bharu: Seramai 20 orang peserta telah hadir ke Bengkel Pembuatan Sabun daripada Minyak Masak Tepakai pada 30 Disember 2022 di Sekolah Rendah Islam Aman, Telipot anjuran Kelab Keluarga Islah dengan kerjasama Wanita IKRAM Kota Bharu dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM). Ini adalah siri ke-3 ia diadakan di Kota Bharu. Bengkel ini dijalankan sebagai salah satu usaha kelestarian alam di mana minyak masak terpakai digunakan semula untuk dijadikan sabununtuk kegunaan domestik. Malah minyak masak yang sudah digunakan boleh juga dijual semula untuk diproses semula kepada biodiesel.


Bengkel ini dikendalikan oleh Professor Madya Dr Dasmawati Mohamad, pensyarah di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia. Beliau yang juga merupakan Ketua Wanita IKRAM Negeri Kelantan menunjukkan cara mudah memproses sabun daripada minyak terpakai yang boleh dilakukan di rumah. Kit pembuatan sabun turut dibekalkan kepada semua peserta untuk dibuat di rumah.


Program ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Penasihat Kelab Keluarga Islah, Dr Hafidzah Mustakim yang menekankan tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sebagai salah satu usaha menjadikan Malaysia negara yang maju dan membangun. Semua ahli masyarakat seharusnya berperanan dalam usaha menjadikan negara ini negara yang bersih dan maju.