Mini Pot Luck Chinese New Year





Pada 1hb Mac, 2024, pihak AJK Persatuan Penduduk Taman Bukit Utama telah menganjurkan acara Mini Pot Luck bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Acara tersebut telah diadakan di gelanggang badminton Taman Bukit Utama bermula pada jam 7.00 malam dan berakhir sekitar jam 11.00 malam. Semua dijemput hadir selain penduduk Taman Bukit Utama termasuk AJK taman taman di sekeliling Taman Bukit Utama, AJK dan jemaah Masjid Bukit Antarabangsa dan polis peronda yang sedang membuat rondaan.
Acara tersebut telah dimulakan dengan ucapan dan doa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, YB Tuan Mohd Kamri Kamaruddin. Beliau mengingatkan para hadirin tentang betapa pentingnya sikap toleransi di antara kaum dan agama yang perlu dikekalkan di kawasan Bukit Antarabangsa dan Taman Bukit Utama khasnya; yang telah dipupuk semenjak kawasan Bukit Antarabangsa baru dibuka. Beliau juga berkongsi mengenai rancangan rancangan yang akan dibuat di sekitar kawasan Bukit Antarabangsa di dalam masa terdekat.
Seterusnya, satu ucapan ringkas telah diberikan oleh Pengerusi Taman Bukit Utama, Encik Badrulisham Mohd Akhirin. Beliau menyokong kenyataan YB Tuan Mohd Kamri berkenaan toleransi sesama penduduk dan menambah lagi yang acara sebegini adalah juga penting untuk memberi kesempatan kepada penduduk Taman Bukit Utama dan taman taman sekitarnya berkumpul dan mengeratkan hubungan oleh kerana kesibukkan pada hari dan masa yang lain.
Acara diteruskan dengan jamuan makanan yan terdiri dari berbagai juadah dan masakkan yang dibawa oleh penduduk Taman Bukit Utama. Juadah seperti kambing golek dan satay juga disediakan sebagai tambahan untuk hadirin. Acara juga dimeriahkan dengan persembahan busking dari Encik Hasrul yang diundang.
Para hadirin mengakhiri acara secara santai dan gelak ketawa sambil menikmati persembahan busker dan sesi membakar mercun pada penghujung acara.