AKTIVITI | SOSIAL
Program Keselamatan dan Kesedaran Pencegahan Jenayah


TUJUAN

Keselamatan di kawasan perumahan akan menjadi lebih berkesan dengan adanya kesedaran, penyertaan, penglibatan dan komitmen yang serius oleh semua golongan masyarakat di kawasan perumahan tersebut.

 

Bagi mencapai tujuan ini, Persatuan Penduduk Jalan Permas 14, 14/1 dan 14/2 dengan kerajsama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah mengadakan Program Keselamatan Dan Kesedaran Pencegahan Jenayah dengan tujuan menggalakkan penyertaan dan penglibatan seluruh komuniti Permas 14 supaya dapat mewujudkan kesedaran di kalangan komuniti Permas 14 bahawa pencegahan jenayah adalah tanggungjawab bersama. Di samping itu, program ini juga akan dapat meningkatkan interaksi antara penghuni dan memupuk konsep kejiranan mesra.



OBJEKTIF

i.   Melaksanakan tanggungjawab Persatuan Penduduk untuk memelihara aspek keselamatan ahli persatuan, iaitu penghuni-penghuni di Permas 14.

 

ii.   Mewujudkan kesedaran dan kepekaan komuniti Permas 14 tentang pelbagai jenayah yang berkemungkinan berlaku di sekeliling kita atau ke atas orang yang kita sayangi, pada bila -bila masa sahaja.

 

iii.   Memupuk semangat kejiranan, budaya tanggungjawab sosial dan tanggungjawab bersama antara polis dan masyarakat dalam mencapai langkah pencegahan jenayah yang efektif.


iv.   Membina persepsi masyarakat yang positif dan menghargai usaha pihak polis dalam memerangi jenayah. 



KESIMPULAN

Melalui taklimat dan sesi dialog dengan para tetamu jemputan dan pihak PDRM, wujudlah kesedaran di kalangan komuniti Permas 14 tentang jenis-jenis jenayah yang mungkin berlaku di keliling kita, terutamanya scam atas talian. Komuniti setempat tahu mengenalpasti scam dan dengan itu dapat elakkan daripada menjadi mangsa scam melalui panggilan telefon. Komuniti Permas 14 juga telah sedar akan pentingnya berinteraksi dan bekerjasama dengan pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah. Budaya tanggungjawab sosial dan tanggungjawab bersama antara polis dengan komuniti juga mampu dibudayakan dalam kehidupan komuniti bagi melahirkan sifat tanggungjawab bersama yang lebih realistik dan konsisten.

 

Program ini bukan sahaja dapat memberi kesedaran tentang pentingnya bekerjasama untuk keselamatan dan mengekalkan keharmaonian komuniti di kawasan perumahan Permas 14, bahkan juga akan meningkatkan tahap keyakinan komuniti Permas 14 terhadap usaha Persatuan Penduduk dalam aspek memelihara keselamatan komuniti di Permas 14.


Jamuan makan malam yang diadakan juga telah menggalakkan penyertaan dan penglibatan sebilangan besar Komuniti Permas 14 dan telah meningkatkan interaksi antara penghuni serta memupuk konsep kejirananan yang mesra.