AKTIVITI | KEBAJIKAN
Gotong-Royong Perdana Seri Pristana 6


Acara Gotong-Royong Perdana Seri Pristana 6 telah dijalankan pada 13 November 2022. Gotong-royong ini melibatkan seluruh penduduk Seri Pristana 6. Fokus gotong-royong ini adalah melibatkan pemasangan pagar keselamatan, lorong-lorong di belakang rumah, pokok-pokok yang mengganggu kawasan persekitaran dan juga longkang-longkang. Agensi yang terlibat pula terdiri dari Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Majlis Pemuafakatan Penduduk Saujana Utama, Persatuan Bomba Sukarela Saujana Utama dan Pusat Kesihatan Daerah Kuala Selangor. Peruntukan yang MyIce dan sumbangan dari Ahli Majlis Zon 23 Majlis Perbandaran Kuala Selangor yang diterima digunakan sepenuhnya untuk pembelian pagar, peralatan untuk gotong-royong seperti plastik sampah, alatan makanan pakai buang seperti cawan dan pinggan, penyewaan khemah dan juga makanan untuk sarapan pagi.

Acara ini dirasmikan oleh En. Mohd Ma'rof bin Salaman, Ahli Majlis Zon 23, Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Acara bermula pukul 7.00 pagi. Penduduk hadir di Dataran Castana sambil menikmati sarapan yang disediakan. Pada pukul 7:30 pagi, acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Sarmizi. Selepas itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Pristana 6, En. Khairul Nazmi memberikan penerangan berkenaan aturcara hari ini. Penduduk dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memudahkan gerak kerja gotong-royong. Selain dari itu, beliau menerangkan tentang bahayanya nyamuk aedes dan demam denggi. Penduduk yang hadir boleh ke booth Pusat Kesihatan Daerah Kuala Selangor.

Tepat pukul 8:15 pagi, penduduk acara gotong-royong dimulakan. Pada pukul 9:45 pagi, penduduk berkumpul semula di Dataran Castana untuk berehat sebentar sambil menunggu ketibaan En. Mohd Ma'rof bin Salaman, Ahli Majlis Zon 23, Majlis Perbandaran Kuala Selangor.Pada pukul 10:00 pagi, En. Mohd Ma'arof tiba di Dataran Castana. Beliau disambut oleh En. Khairul Nazmi, Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Pristana 6 dan En. Wan Ismail, Timbalan Pengerusi Majlis Pemuafakatan Penduduk Saujana Utama.En. Mohd Ma'arof menyampaikan sepatah dua kata lalu merasmikan Gotong-Royong Perdana Seri Pristana 6. Beliau juga berkata ini adalah gotong-royong yang paling ramai dihadiri oleh penduduk pada tahun ini.

Pada pukul 11.00 pagi, gotong-royong bersambung semula. Kaum ibu pula menyediakan potluck dan minuman untuk makan tengahari sebentar nanti. Pada pukul 1.00 petang, penduduk menghabiskan baki kerja gotong-royong dan bergerak ke khemah untuk menikmati makan tengahari. Tepat pada pukul 2.00 petang, penduduk mengemaskan peralatan di khemah dan menyusun peralatan gotong-royong yang dibekalkan Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Selepas itu, majlis bersurai.