BERITA | SOSIAL
Mesyuarat Majlis Eksekutif Pertama PERMIM bagi sesi 2021-2023 bersama ahli gabungan

Alhamdulillah, Dengan izin Allah SWT Yang Maha Berkuasa, Mesyuarat Majlis Eksekutif Pertama PERMIM bagi sesi 2021-2023 bersama ahli gabungan telah berlangsung dengan jayanya semalam.


Mesyuarat yang sepatutnya dihadiri oleh 100 perwakilan dari ahli gabungan PERMIM itu hanya telah dihadiri oleh kira-kira 50 perwakilan dari ahli gabungan PERMIM. Kami ingin menyeru supaya semua ahli gabungan dapat menghantar perwakilan bagi menghadiri mesyuarat ini bagi tujuan menjayakan majlis. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua perwakilan yang hadir.


Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah bagi memperingati Al-Marhum Dato' Syeikh Abdullah Bukhari Al-Hafiz, Imam Masjid Kapitan Keling, dan saudara kita Al-Marhum Abdul Jabbar , Al marhum Haji Asree Abdullah, mantan Pengerusi , Muslim India Negeri Kelantan (KIMA) dan juga kepada semua ketua masyarakat kita yang telah pergi bertemu Ilahi.


Seterusnya, Naib Presiden PERMIM Saudara Azrin membacakan Doa bagi menjayakan majlis tersebut di samping memohon agar Saudara Sabarudin yang telah bertungkus-lumus untuk kebajikan masyarakat agar disembuhkan dari penyakitnya.


Presiden PERMIM Shaik Faridhudheen Anverdeen, dalam ucaptamanya, menggambarkan pencapaian PERMIM sejak 120 hari lalu dan cabaran yang dihadapi di dalam tempoh masa tersebut.


Beliau memohon sokongan semua persatuan gabungan untuk bersatu di bawah PERMIM bagi membentangkan keperluan Organisasi kepada Kerajaan. Beliau juga menyebut bahawa dalam tempoh 8 bulan akan datang PERMIM akan mengusahakan beberapa projek selari dengan matlamat PERMIM untuk memajukan komuniti kita.


Setiausaha Agung PERMIM Kaliruzzaman, dalam kenyataannya berkata bahawa PERMIM telah berkerjasama dengan rapat bersama ahli gabungan sejak empat bulan lalu selain komited dalam usaha untuk menyediakan dokumen yang diperlukan untuk mendapatkan geran daripada Kerajaan.


Beliau turut menyatakan bahawa PERMIM telah bertindak dengan pantas dalam memberikan bantuan kewangan kepada penduduk India Muslim yang terjejas akibat Banjir pada bulan Disember lalu.

 

Di kesempatan ini, beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak. Beliau juga berkata bahawa laman web PERMIM telah dipilih sebagai Laman Web Kegemaran Malaysia 2021 oleh Anugerah Laman Web Malaysia.


Bendahari tidak dapat menghadiri mesyuarat atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Dalam ketiadaan Bendahari, ahli eksekutif PERMIM Ariffin telah membentangkan penyata kewangan PERMIM kepada para peserta yang terlibat di dalam majlis.


Dalam mesyuarat itu, para perwakilan membincangkan cabaran yang dihadapi dan juga peranan PERMIM untuk masyarakat pada tahun-tahun yang akan datang.


Timbalan Presiden Azman Shah dan Naib Presiden Dato' Dr. Shahul Hameed, Zabarulla, Arib Aliah, Azrin dan ahli jawatankuasa eksekutif turut menghadiri mesyuarat tersebut.


Sebagai penutup Presiden PERMIM membacakan Doa khas agar segala usaha yang dilakukan PERMIM mendapat restu Allah SWT. Mesyuarat bermula pada pukul 3 petang dan berakhir pada pukul 5.30 petang.


Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Pengerusi Persatuan Gabungan, Ahli Eksekutif Gabungan dan Ahli Gabungan di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan mesyuarat ini.