BERITA | KEBAJIKAN
PROGRAM JAULAH RAMADHAN PERLIS-KEDAH (JAULAH 1.0)

Arau, 23 April 2022 – Sebanyak 120 buah rumah keluarga asnaf dan 21 orang anak yatim daripada sebuah rumah  anak yat dan miskin telah menerima bantuan barangan keperluan dapur serta duit raya menerusi Program Jaulah Ramadhan Perlis-Kedah (Jaulah 1.0) yang telah diadakan pada hari ini.

 

Program anjuran bersama Unit Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN), PJIMA UiTM Cawangan Perlis, Usrah A.M.A.L, Persatuan Prihatin Komuniti Negeri Perlis (Communicare) dan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (Cawangan Kedah) ini mensasarkan sebanyak 6 kawasan perkampungan disekitar Perlis dan Kedah yang melibatkan seramai 75 orang sukarelawan dari kalangan staff UiTM Cawangan Perlis serta wakil-wakil dari NGO. Antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Guring, Pauh, Kg Batu Bertangkup, Klinik Kesihatan Laka Temin, Kg Musa, Pedu, Kampung Bendang Tebal, Chepir, Sik , dan Pusat Penjagaan Anak Yatim Dan Miskin At-Taqwa, Baling

 

Majlis perlepasan skuad Jaulah 1.0 ini telah disempurnakan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis. Beliau menyambut baik program-program seperti ini di anjurkan bagi memasyarakatkan UiTM dengan lebih luas di peringkat nasional sekaligus membuktikan bahawa UiTM perihatin terhadap masyarakat. Selain itu, Ybrs Rektor dalam ucapan juga menggalakkan warga kampus untuk terus menjalinkan kerjasama erat bersama NGO dan industri dalam kerja-kerja amal seperti ini dalam usaha kearah pembangunan sosiobudaya dan ekonomi komuniti.

 

Program Jaulah Ramadhan Perlis-Kedah siri pertama ini telah berjaya menerima sumbangan dan tajaan sebanyak RM42,192.00 dalam bentuk wang tunai dan juga barangan. Sumbangan diterima daripada staff UiTM dan orang awam. Program ini juga turut menerima tajaan dari beberapa agensi antaranya dari (1) Bina Darulaman Berhad, (2) MAIPS  dan (3) Hijabs by Hanami.

 

Program yang bermula sekitar jam 8.00 pagi berakhir sekitar jam 8.00 malam usai berakhirnya program agihan dan majlis berbuka puasa di Pusat Penjagaan Anak Yatim Dan Miskin At-Taqwa, Baling, Kedah.