AKTIVITI |
PROGRAM KEBERSIHAN (AKTIVITI GOTONG-ROYONG) dan PROGRAM KESELAMATAN


Persatuan Penduduk Impian Golf dan Country Resort, Kajang, Selangor (IGCRRA) ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Penilaian MyICE JPPM dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Negeri Selangor kerana meluluskan permohonan MyICE 2022 kami berjumlah RM10,000.00 untuk melaksanakan Program Kebersihan (Aktiviti Gotong-Royong) di taman kami, iaitu Impian Golf & Country Resort (IGCR), Saujana Impian, Kajang, Selangor.


Kami percaya aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat perpaduan, tolak ansur dan tolong menolong di antara penduduk tidak kira usia, bangsa dan agama. Tahap kebersihan persekitaran yang dicapai bersama secara tolong-menolong dengan semangat kejiranan adalah matlamat utama kami. Taman IGCR merupakan suatu kawasan perumahan yang amat luas dengan pokok-pokok dan tumbuhan yang hijau dan subur. Jalan raya dan bahu jalan sering dipenuhi pasir dan daun-daun kering/ranting yang jatuh dari pohon-pohon/ pokok-pokok. Lama-kelamaan daun-daun dan ranting-ranting ini akan terkumpul dan menyumbat longkang tepi jalan raya dan menyebabkan berlaku banjir kecil.   

 

Aktiviti gotong-royong ini juga diharap dapat membantu kami lebih berwaspada pembiakan nyamuk dengan memastikan persekitaran kawasan kediaman kami adalah bersih dan bebas dari ancaman pembiakan nyamuk Aedes.  

 

Dengan sukacitanya kami ingin memaklumkan bahawa program kami telah berjaya dilaksanakan dengan cemerlangnya. 

Tarikh dan tempat dan pelaksanaan program adalah seperti berikut:-

Program : Program Kebersihan (Aktiviti Gotong-Royong) 

Tarikh   : 21hb Ogos 2022 (Ahad), 7:45 a.m. - 1:00 p.m.

Tempat  : Impian Golf and Country Resort, Saujana Impian, Kajang, Selangor.

 

Program tersebut dilaksanakan dalam bulan Ogos bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Ulang Tahun Ke-20 IGCRRA. Tema yang kami pilih adalah “IGCRRA Gotong-Royong and Family Day”, bertepatan dengan tujuan kami untuk sama-sama bergotong-royong di samping menyambut perayaan Hari Keluarga IGCRRA.


Taman IGCR adalah suatu kawasan perumahan yang amat luas. Justeru itu, aktiviti gotong-royong dibahagikan kepada tujuh (7) zon yang diketuai oleh seorang penduduk di zon masing-masing. Terdapat lebih kurang 210 peserta-peserta (dewasa dan kanak-kanak dari 83 rumah) di taman IGCR bekerjasama mengambil bahagian dalam Program Kebersihan (Aktiviti Gotong-Royong) yang dilaksanakan pada 21hb Ogos 2022 dari pukul 7:45 a.m. - 11:00 a.m. 


Seusai Program Gotong-Royong, IGCRRA juga berjaya melaksanakan Program Keselamatan pada hari yang sama dari pukul 11:00 a.m. - 1:00 p.m.   Tujuan perlaksanaan Program Keselamatan adalah untuk meningkatkan kesedaran keselamatan disamping menggalakkan penyertaan penduduk-penduduk dalam aktiviti pencegahan/ memerangi jenayah.  

 

Di sini IGCRRA ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada IPD/PDRM Kajang kerana meluluskan permohonan kami untuk menyediakan “booth” untuk pihak polis mempamerkan motosikal dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) disamping memberi penerangan kepada penduduk berkenaan fungsi dan peranan URB.  

 

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman yang sudi hadir dan menyampaikan ceramah kesedaran dan pencegahan penipuan (“scams”)  yang telah mendapat perhatian yang ramai dari penduduk IGCR. Notis-notis dan risalah berkaitan isu-isu semasa “scams” dipamerkan dan disebarkan untuk maklumat penduduk IGCR. Rata-rata penduduk yang hadir berpendapat bahawa sesi penerangan seperti ini amatlah bermanfaat untuk melindungi diri dari ditipu “scammers” setelah membaca banyak kes-kes penipuan di media sosial.  

 

Polis wanita dari Skuad Amanita juga hadir dalam Program Keselamatan. Kami difahamkan Amanita berperanan untuk memberi penerangan kepada kaum wanita terutama kepada suri rumah dari segi menjaga keselamatan diri, keluarga dan tempat kediaman dan kawasan kejiranan.

   

Para peserta dan tetamu (anggota polis) berhimpun di sebuah kawasan lapang di dalam IGCR untuk pelaksanaan Program Keselamatan.  Pada masa yang sama, mereka juga dijemput menikmati jamuan ringan yang disediakan.

 

Secara keseluruhan, kesemua peserta berpendapat aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan sungguh menyeronokkan dan amat bermanfaat sekali.  Aktiviti tolong-menolong untuk menyelenggara kawasan kejiranan merupakan sebahagian daripada program sosial yang dilancarkan oleh IGCRRA. Kehidupan kejiranan dan interaksi komuniti sosial yang baik mampu menggalakkan perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim dan meningkatkan kesejahteraan sosial dalam komuniti penduduk.  Adalah diharapkan usaha komuniti penduduk yang mengambil berat tentang kebersihan dan keindahan alam sekitar dapat menyediakan keadaan kehidupan yang lebih selesa dan kondusif. 


Pada kesimpulananya, program-program yang telah kami usahakan hasil dari peruntukan MyICE 2022 telah berjaya memupuk semangat perpaduan jiran tetangga yang lebih tinggi serta mengeratkan hubungan silaturahim dan meningkatkan lagi kesedaran kepada kesejahteraan sosial dan keselamatan disamping menggalakkan penyertaan penduduk-penduduk dalam aktiviti pencegahan/ memerangi jenayah.  


Melalui usaha dan jasa kerjasama komuniti penduduk, kami berharap menegakkan moto IGCRRA iaitu:-


Bersama, Ke Arah Kehidupan Berkualiti! 

(Together, Towards Quality Living!).

IGCRRA ingin mengulangi ucapan berbanyak terima kasih jepada JPPM atas peruntukan MyICE 2022 untuk melaksanakan Program Kerbersihan (Aktiviti Gotong-Royong). Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada IPD Kajang/PDRM atas kerjasama untuk melaksanakan Program Keselamatan.


Sekian, terima kasih.