BERITA | SOSIAL
KONVENSYEN TADBIR URUS BERINTEGRITI

Persatuan Profesional Kewangan Muslim Malaysia (MFP) telah berjaya menganjurkan Konvensyen Tadbir Urus Berintegriti pada Khamis, 19 Januari 2023 di Bangi Golf Resort. Konvensyen yang berlangsung selama satu hari ini anjuran bersama MFP dan Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UITM) dan Sekolah Ekonomi dan Perdagangan Universiti Putra Malaysia (UPM).


Alhamdulillah seramai 109 orang peserta dan petugas telah menghadiri konvensyen yang secara asasnya diadakan dengan objektif untuk meningkatkan Kesedaran dan kefahaman berkaitan integriti dan tadbir urus dalam pengurusan pelbagai sektor selain daripada meningkatkan usaha memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di dalam pengurusan. Seterusnya membincangkan solusi dalam meningkatkan keberkesanan tahap integriti dan tadbir urus sedia ada.


Konvensyen telah dimulakan dengan penyampaian ucaptama yang sangat relevan dan menginspirasikan oleh Naib Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA) iaitu Tuan Mohamad Faisal Abdul Malik. Slot seterusnya adalah bersama Tuan KPKPj Ab Muneim Ibrahim, Timbalan Pengarah Outreach, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM yang berkongsi berkenaan Peranan SPRM Dalam Memperkasa Tadbir Urus dan slot 2 oleh Puan Nurhayati Nordin, Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters yang menyampaikan tajuk membanteras rasuah hingga ke akar umbi.


Konvensyen telah diakhiri dengan sesi forum yang telah dikendalikan oleh moderator terkenal Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar. Penganjur telah membawakan 3 orang panelis iaitu Tuan Badlishah Sham, Presiden IKRAM Malaysia, Datuk Nik Mohd Hasyudeen, mantan CEO Lembaga Tabung Haji dan Dr Teo Lee Ken, Pegawai Dasar dan Kajian APPGM-SDG yang telah mengupas tajuk Tadbir Urus Berintegriti dengan sangat baik dan bernas.


Sesungguhnya usaha membudayakan integriti, tadbir urus yang baik, membanteras ketirisan, rasuah dan korupsi di pelbagai peringkat perlu diteruskan secara konsisten dengan semua pihak sama ada kerajaan, pihak berkuasa, gerakan sosial, NGO, setiap individu di dalam masyarakat memainkan peranan masing-masing.


Semoga segala dapatan daripada konvensyen ini bermanfaat kepada semua peserta yang hadir.