BERITA | KEBAJIKAN
PROGRAM PEMANTAPAN MOTIVASI DIRI DAN PENJAGAAN PESAKIT KANSER

Pertubuhan Pejuang Kanser Melaka (PPKM) telah berjaya memperolehi geran Malaysian Incentive Community Empowerment (MyICE) Tahun 2022. Menerusi geran tersebut PPKM telah mengadakan Program Pemantapan Motivasi Diri dan Penjagaan Pesakit Kanser. Program ini telah diadakan pada 9 dan 10 Disember 2022 yang melibatkan seramai 80 orang peserta bertempat di Chalet Keluarga, Kuala Sungai Baru, Melaka.

 

Antara objektif utama penganjuran program ini adalah seperti berikut:

  • Untuk meningkatkan semangat jati diri dan sikap sayangkan diri dalam kalangan pesakit kanser walaupun disahkan mendapat penyakit yang sangat digeruni ramai.
  • Untuk memberikan sokongan moral dan emosi kepada pesakit kanser supaya mereka sentiasa berfikiran positif dan meneruskan rawatan yang telah dirancang oleh doktor pakar.
  • Untuk mendidik pesakit kanser tentang penjagaan diri dari segi fizikal, mental dan emosi dalam mengharungi perjalanan rawatan bagi penyakit kanser.

 

Sasaran awal peserta adalah seramai 50 orang. Walau bagaimanapun, terdapat permintaan daripada peserta yang ingin hadir walaupun kuota telah penuh. Oleh itu Pertubuhan Pejuang Kanser Melaka (PPKM) berbesar hati untuk menambah jumlah peserta dan membiayai kos tambahan ini.

 

Oleh itu, bilangan peserta yang hadir adalah seramai 70 orang dan urusetia seramai 10 orang bagi membantu urusan logistik dan perjalanan program 2 hari 1 malam ini. Kumpulan sasar adalah terdiri daripada kategori B40, asnaf, ibu tunggal dan berbagai kaum. Peserta merupakan ahli dalam Pertubuhan Pejuang Kanser Melaka yang juga merupakan pesakit yang sedang menjalani rawatan dan telah selesai rawatan.